Fadhilat Ramadhan..:



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Ramadhan Al-Mubarak


Bulan Kemuliaan


Bulan ini merupakan satu bulan mulia dan waktu yang merupakan khusus untuk umat Islam melakukan ibadah puasa dengan menuruti perintah Allah yang menyebut :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

"Bulan Ramadhan yang pada bulan itu telah kami turunkan Al-Qur’an untuk memberi pertunjuk kepada manusia dan memberi penerangan dari hidayah serta pembeza hak dan kebathilan”

“Barangsiapa yang menghadapi bulan ramadhan maka hendaklah dirinya berpuasa” (Al-Baqarah : 185).


Sesungguhnya ramadhan merupakan bulan mulia yang menjadi salah satu dari waktu tertegaknya rukun Islam yang lima iaitu berpuasanya umat Islam pada bulan ini sebagai menunaikan kewajipan mereka kepada Allah yang Maha Esa.

Diriwayatkan dari Ibn Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16).

Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079).

Juga baginda bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 38 dan Ibn Majah no. 1641).


Sesungguhnya bulan ramadhan ini ialah sebuah ibadah yang agung dan mulia di sisi Allah swt. Juga pada bulan ini ganjaran pahala dan kebaikan menanti hamba yang beriman yang melalui bulan dan waktu ini dengan ibadah dan keimanan yang sahih kepada Allah swt.

Mereka yang berpuasa merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith qudsi bahawa Allah berfirman : “Setiap amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Sesungguh para tetamu Allah di bulan ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda dalam sebuah hadith menyebut : “Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui tuhannya..” (hadith sahih Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151).

Bahkan tetamu Allah di bulan ramadhan akan diberikan ganjaran besar di sisi Allah sehingga disediakan kepada mereka sebuah pintu syurga yang khusus seperti dari riwayat Sahl ibn Said ra dari baginda nabi yang bersabda : “ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan yang dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang masuk melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru mereka itu dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun dan memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka selesai melalui pintu tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1896 dan Muslim no. 1152).

Digital Clock

Profil Diri

Khairul Akmal
Sarjana Muda Kejuruteraan Awam
Anak Jati Negeri Pahang